KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Agrobank menyasarkan untuk mengagihkan pinjaman berjumlah RM5.7 bilion tahun ini, naik 20 peratus daripada RM4.6 bilion tahun lepas, meskipun berlakunya kelembapan ekonomi semasa, kata Presidennya Datuk Martini Osman hari ini.
Bank itu juga menyasarkan untuk meningkatkan kelulusan pinjaman bagi pembiayaan mikro kepada RM500 juta tahun ini berbanding RM350 juta pada 2008, kata Martini.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Kios Agrobank di Kota Damansara di sini hari ini, katanya bank itu akan memberikan perhatian khusus kepada penanaman padi dan industri berasaskan makanan.
"Apapun yang dikatakan tentang kemelesetan ekonomi, ia akan pulih juga. Dan jika anda tidak optimistik, ekonomi tentunya akan menurun sepanjang masa," kata Martini.
"Tetapi jika anda memberikan pinjaman sebegitu, saya pasti banyak syarikat akan pulih," katanya apabila diminta mengulas berkenaan unjuran pinjaman berjumlah RM5.7 bilion di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.
Martini berkata Agrobank ingin mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia untuk menjadi "bank lengkap" bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri perbankan.
Katanya kelulusan daripada bank pusat itu akan membolehkan Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman yang lain seperti perumahan, pembiayaan perdagangan dan sewa beli.
"Kami telah bertemu Bank Negara awal tahun ini dan sedang menantikan maklum balas darinya," katanya.
Beliau berkata Agrobank akan membuka dua lagi kios tidak lama lagi pada kos dianggarkan RM250,000 untuk setiap premis di Kepong, Kuala Lumpur dan Pusa di Sarawak.
Ia juga akan membuka dua lagi cawangan baru di Pekan, Pahang, dan Kinabatangan, Sabah, tahun ini, katanya.
Sekarang ini, bank itu mempunyai 180 cawangan di seluruh negara, termasuk 12 pejabat negeri dengan lebih 175 mesin juruwang automatik, mesin pendeposit tunai dan pengurusan kualiti kad.
No comments:
Post a Comment