Demi Masa

Wednesday, April 1, 2009

Permohonan pembiayaan pertanian dibuka hari ini

AGROBANK, bank diamanahkan kerajaan untuk mengagihkan dana RM300 juta menerusi program mikro kredit yang diumumkan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua 10 Mac lalu, mempelawa usahawan atau bakal usahawan berkaitan pertanian yang berminat mendapatkan pembiayaan menerusi program itu supaya mengemukakan permohonan mereka bermula hari ini.

Presidennya, Datuk Martini Osman, berkata permohonan boleh dikemukakan menerusi lebih 200 cawangan bank itu di seluruh negara.

Beliau berkata, walaupun Agrobank dijangka hanya menerima peruntukan itu daripada kerajaan bulan ini, namun usahawan atau bakal usahawan yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka sekarang bagi memastikan ia dapat diproses lebih awal dan pembiayaan disalurkan dengan cepat.

"Setakat ini, kami hanya menerima pertanyaan berkaitan dana itu, tetapi tiada sebarang permohonan dibuat.

"Justeru, kepada sesiapa yang berminat menjalankan perniagaan dalam bidang pengeluaran dan pemprosesan berasaskan pertanian, mereka boleh mula memohon sekarang supaya kami boleh memprosesnya lebih awal supaya pembiayaan dapat disalurkan dengan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah promosi tambah nilai Celcom X-Pax menerusi mesin ATM Agrobank di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengurus Bahagian Akaun, Jualan dan Operasi Celcom Mobile Sdn Bhd, Azlan Khairudin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan pakej rangsangan kedua di Parlimen 10 Mac lalu mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi merangsang kegiatan ekonomi di kalangan petani dan peniaga di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.

Martini berkata, dana RM300 juta itu dijangka bakal memanfaatkan lebih 10,000 usahawan dan bakal usahawan yang terbabit dalam bidang pengeluaran dan pemprosesan berasaskan pertanian.

Katanya, daripada jumlah peruntukan itu, RM200 juta akan diagihkan kepada usahawan yang terbabit dalam sektor pengeluaran seperti perladangan dan penternakan, manakala RM100 juta lagi untuk sektor pemprosesan seperti perusahaan makanan dan bukan makanan.

Beliau menjelaskan, jumlah maksimum untuk pinjaman bagi sektor pengeluaran adalah RM50,000, manakala pinjaman untuk sektor pemprosesan adalah RM20,000.

No comments:

Jarum Suntikan Vitamin

Jarum Suntikan Vitamin
Untuk suntik kambing nie...